31 JULAI: Jasa, sumbangan dan khidmat bakti warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya mereka yang bertugas di barisan hadapan ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19, adalah tidak ternilai harganya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam memerangi pandemik, para pahlawan di barisan hadapan keselamatan membuktikan kesungguhan mereka dalam mempertaruhkan nyawa demi melindungi rakyat Malaysia, sehingga ada antara mereka turut dijangkiti dan kehilangan nyawa.
“(Semua khidmat mereka) daripada mengawal sempadan negara kepada sekatan jalan raya, daripada memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi kepada membantu golongan terkesan dengan agihan bakul makanan, daripada membantu menggerak program vaksinasi kepada merawat pesakit Covid-19 yang dijangkiti.
“Para wira dan wirawati barisan hadapan ini sentiasa sederap bersama-sama pahlawan barisan hadapan kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pahlawan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kepada perwira yang masih dalam tugasan, jasa dan sumbangan amat dihargai dan didoakan agar semua diberi kesihatan dan dilindungi daripada segala bahaya serta kemudaratan.
Perdana Menteri, juga merakamkan penghargaan buat ahli keluarga perwira negara yang terkorban semasa bertugas, jasa dan pengorbanan mereka tentunya tidak akan disia-siakan.
“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Tentunya pengorbanan mereka terus dikenang sepanjang zaman.
“Segala jerit perih, komitmen serta pengorbanan para pahlawan dan perwira negara, sama ada dahulu atau sekarang adalah demi mempertahankan keamanan, kemakmuran dan kedaulatan negara. Semoga khidmat bakti dan pengorbanan mereka disanjung tinggi dan diberkati. Insya-Allah,” katanya.