31 JULAI: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, membidas kehadiran pemimpin pembangkang di himpunan haram petang tadi dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai mencemar imej negara.
Beliau berkata, pemimpin politik yang hadir di perhimpunan tersebut tidak layak digelar sebagai pemimpin sebaliknya lebih layak digelar sebagai penghasut.
“Mereka bukan tokoh tapi ingin rosakkan negara. Saya tidak panggil mereka tokoh tetapi penghasut.
“Kehadiran mereka (pemimpin politik) hanya mengeruhkan lagi keadaan dan merosakkan imej negara yang sedang berperang dengan pandemik COVID-19 ketika ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kira-kira 1,000 kotak makanan kepada penduduk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Siputeh, Ulu Selama.
Turut hadir Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani dan Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid
Justeru, Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) siasat pelbagai sudut pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) peserta perhimpunan haram di ibu negara, hari ini.
Beliau juga turut membidas pihak yang sanggup berhimpun beramai-ramai dan melanggar SOP ketika negara sedang berdepan penularan varian Delta pandemik COVID-19 ketika ini.
“Tindakan itu tidak sepatutnya berlaku apabila di mana ia secara jelas tidak mematuhi Op Patuh dan dilihat cuba menggagalkan usaha kerajaan untuk melandaikan lengkuk COVID-19 dengan berkumpul di tempat awam.
“Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melihat dari sudut kegagalan mematuhi SOP dan jika ada, tindakan akan diambil,” katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata polis akan memanggil semua pihak yang terlibat dalam satu perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini termasuk penganjur untuk tindakan seterusnya.
Tegas Hamzah, rakyat perlu faham tentang SOP yang dibuat kerajaan adalah untuk kebaikan rakyat di mana berkumpul dan membuat demonstrasi bukan sahaja satu kesalahan, malah mendatangkan mudarat kepada rakyat sekiranya berlaku jangkitan wabak COVID-19.
“Ada segelintir netizen yang marah apabila sektor kilang dibenarkan beroperasi, tetapi orang yang sama juga mengajak orang lain untuk berkumpul melanggar SOP dan mendatangkan bahaya untuk keselamatan diri peserta.
“Saya rasa mereka double standard. Kumpulan ini cuba memecahbelahkan dan menimbulkan perasaan tidak senang. Kemudiannya (selepas dijangkiti COVID-19) barulah mereka sedar bahawa varian Delta ini merebak dengan cepat,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Hamzah turut mengumumkan peruntukan segera kira-kira RM200,000 untuk pembelian kit ujian COVID-19 agar saringan secara besar-besaran dilakukan dengan segera di kawasan tersebut sekali gus mengawalnya daripada terus merebak.
Seramai 5,152 penduduk di empat kampung membabitkan Kampung Sungai Seputeh, Kampung Teluk Mas, Kampung Garok dan Kampung Tapah, di Ulu Selama terlibat dalam PKPD selama 14 hari bermula tengah malam 27 Julai hingga 9 Ogos.