31 JULAI : Pemberian vaksin menggunakan pendekatan ‘walk in’ atau secara terus di Lembah Klang akan berkuat kuasa 2 Ogos ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata, suntikan inokulasi bagi tujuan berkenaan akan dimulakan secara berperingkat.
Bagaimanapun, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata pemberian vaksin secara Walk-in hanya untuk mereka yang belum ada janji temu menerusi aplikasi MySejahtera.
Beliau berkata program vaksinasi secara ‘walk in’ berkenaan bermula pada 2 Ogos dengan keutamaan pemberian vaksin kepada individu berusia 40 tahun ke atas dan yang mempunyai masalah komorbiditi.
“Pemberian vaksin secara ‘walk in’ untuk golongan 18 tahun ke atas dilakukan mulai 5 Ogos 2021.
“Bagaimanapun, bukan semua PPV di Lembah Klang akan menerima walk-in. Senarai PPV yang menerima walk in akan diumumkan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata pemberian vaksin walk ini berkenaan akan menggunakan kaedah ‘siapa cepat dia dapat’ atau ‘First come, first serve’ bergantung kepada kapasiti.
“Mereka yang tidak dapat, akan diberikan keutamaan keesokkan harinya. Bagaimanapun, pemberian vaksin secara Walk-in hanya untuk mereka yang belum ada janji temu menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya.