31 JULAI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berharap pingat gangsa dimenangi pasangan beregu Malaysia Aaron Chia-Soh Wooi Yik badminton negara dapat membakar atlet lain untuk meraih kejayaan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Berikutan itu, Muhyiddin mengucapkan tahniah kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik kerana menang pingat pertama bagi kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Syabas Aaron Chia-Soh Wooi Yik!Kemenangan dan sumbangan pingat yang amat diharap serta dinanti-nantikan oleh seluruh peminat sukan tanah air.
“Pingat gangsa dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diraih malam ini tentunya mampu menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada atlet-atlet negara yang lain untuk memburu kilauan pingat seterusnya.
“Tahniah saya ucapkan kepada pasangan Aaron Chia-Wooi Yik, serta barisan kejurulatihan atas sumbangan pingat sulung buat kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo ini.
“Buat pasangan muda kita ini, teruskan usaha dan berjuanglah demi negara. Anda telah membuktikan yang negara boleh menaruh harapan kepada anda. Tahniah, anda kebanggaan Malaysia!,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini sebentar tadi.
Terdahulu, media melaporkan skuad badminton Malaysia memastikan mereka tidak pulang tangan kosong selepas beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul pingat gangsa dalam acara beregu lelaki di Sukan Olimpik 2002, sebentar tadi.
Gangsa yang menjadi pingat pertama buat kontinjen negara pada temasya kali ini diraih selepas mereka menumbangkan gandingan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 pada penentuan pingat.
Ini menyaksikan beregu nombor sembilan dunia itu berjaya membalas dendam atas kekalahan 16-21, 19-21 di tangan lawan sama pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
Malah, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan adalah pasangan dari Indonesia yang kedua menjadi ‘mangsa’ beregu negara pada temasya kali ini selepas mereka menumbangkan Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon di suku akhir.