31 JULAI : Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang hari ini sebulat suara menyatakan sokongannya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui negara.
Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Shabudin Yahaya berkata, kepimpinan PN negeri akan terus bersama kepimpinan pusat agar semua perancangan kerajaan, khususnya Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dijayakan dengan sempurna untuk kelestarian rakyat dan negara.
“PN Pulau Pinang juga menjunjung kasih atas titah Agong untuk mengutamakan usaha menjaga kesejahteraan rakyat dan agenda memerangi Pandemik Covid-19,” ujarnya.
Sementara itu, beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Pulau Pinang menyeru semua pimpinan dan parti politik bersatu hati, bekerjasama dan memberi tumpuan sepenuhnya ke atas segala usaha menangani pandemik Covid19 yang masih berlarutan sehingga sekarang.
Tegasnya, rakyat Malaysia menuntut semua pihak memberi keutamaan kepada isu kesihatan, kebajikan dan pemulihan ekonomi rakyat dan negara pada waktu sekarang berbanding perebutan kuasa dan agenda peribadi masing-masing.
“Kestabilan politik amat penting d an menjadi keutamaan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang direncanakan Kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyat Malaysia dalam mendepani pendemik Covid,” ujarnya.