31 JULAI : Dalam usaha mempertingkatkan Tahap Sara Diri ( SSL) beras negara, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengusahakan 140 hektar sawah padi di kawasan FELCRA Seberang Perak menerusi program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB).
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, program SMART SBB yang telah dilancarkan pada 23 Februari lalu merupakan salah satu inisiatif MAFI dalam menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan melalui satu sistem pengurusan.
“Ia dilakukan bagi mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil lepas tuai.
“Program SMART SBB ini menyasarkan peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa sebanyak 3.5 tan metrik pada tahun 2019 kepada 7.0 tan metrik dalam tempoh RMKe-12.
“Program ini tidak membabitkan sebarang tambahan kos kepada Kerajaan malah kesemua syarikat peneraju akan menanggung sepenuhnya kos terlibat da menggunakan kaedah teknologi baharu atau Internet of Things (IoT) selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0),” katanya menerusi kenyataan itu.
Jelasnya, antara teknologi yang diterapkan adalah penggunaan dron bagi pemantauan yang lebih berkesan dan penyemburan input pertanian seperti baja dan racun.
Cara ini menurut Ronald, dapat mengurangkan kos penanaman di samping meningkatkan produktiviti hasil pertanian padi.
“Pelaksanaan program ini adalah tepat pada masanya memandangkan pelaburan swasta amat penting bagi menjadikan industri padi dan beras negara lebih kompetitif dan berdaya saing di sepanjang rantaian nilai industri.
“Dengan pelaksanaan SMART SBB ini, jurang di sepanjang rantaian penghasilan beras negara juga dapat dirapatkan dan seterusnya memberi peluang kepada pemain-pemain industri untuk bergerak dengan lebih efisien di dalam sektor padi dan beras,” katanya. – OlehHAFIZ HAMZAH