31 JULAI: Semua Menteri Kabinet masih memberi sokongan padu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, menegaskan perkara itu terbukti selepas tiada menteri Kabinet daripada mana-mana parti politik meletakkan jawatan pada mesyuarat Kabinet diadakan semalam.
Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menegaskan perkara itu sekali gus menepis andai pihak tertentu bahawa beberapa anggota Menteri Kabinet akan meletakkan jawatan dalam masa terdekat.
Sebaliknya, Rina berkata semua menteri Kabinet memberi sokongan kepada Perdana Menteri, untuk terus mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) biarpun ketika ini berdepan isu pembatalan Ordinan Darurat yang diumumkan di Parlimen Isnin lalu.
“Setakat ini, tidak ada lagi peletakan jawatan mana-mana menteri. Alhamdulillah, semalam kami bermesyuarat Kabinet macam biasa.
“Kita bermesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO, masih ada lagi kerjasama erat kerana kita tahu, kita sedar isu rakyat ini yang perlu diberi keutamaan.
“Saya fikir daripada semua (yang hadir mesyuarat Kabinet) semalam memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri untuk meneruskan kerajaan, tidak kira dari Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS)..semua sekali,” katanya selepas mengadakan pemantauan dan penyampaian Inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, hari ini.
Sebelum ini beberapa portal berita hari ini melaporkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, akan meletakkan jawatan susulan pengumuman mengenai pembatalan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
Mengulas lanjut, Rina berkata, ketika ini fokus diberikan dalam menyelesaikan masalah rakyat yang berdepan kesukaran.
Rina berkata beliau menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya fokus diberikan kepada kemaslahatan dan isu rakyat.
Beliau berkata, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sehingga kini, sejumlah RM530 bilion sudah disalurkan kerajaan untuk bantuan rakyat.
“Ini yang kita kena uar-uarkan kerana mungkin ada yang tidak tahu atau tidak menyedari bantuan itu sudah diberikan,” katanya.