1 OGOS: Seramai 85,000 guru di seluruh negara yang masih belum mendapat suntikan vaksin COVID-19, dijangka menerima sekurang-kurangnya dos pertama sebelum sesi persekolahan dibuka September ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ketika ini senarai penuh nama guru sudah diberikan Kementerian Pendidikan (KPM) kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan semua warga pendidikan divaksinasi sebelum sekolah dibuka.
Selain guru, anggota kumpulan pelaksana dan perkhidmatan sokongan termasuk pengendali kantin sekolah, pemandu bas dan van sekolah, serta pengawal keselamatan sekolah juga akan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha mencapai imuniti di kawasan sekolah.
“Saya telah meneliti dan membuat permintaan kepada CITF untuk memberi suntikan vaksin kepada golongan ini sebelum September,” katanya selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi bersama Institut Jantung Negara (IJN) di Dewan Serbaguna Semanggar, Kota Tinggi.
Setakat ini, 326,998 orang guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala seramai 215,999 orang guru telah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.
Mengenai pemberian vaksin kepada pelajar berusia 12 hingga 17 tahun, beliau berkata kementeriannya sedang meneliti data klinikal yang lebih tepat dan terkini daripada Pfizer sebelum membuat keputusan untuk menjalankan vaksinasi terhadap kumpulan itu.
Sementara itu, 1,500 vaksin telah diberikan kepada masyarakat Orang Asli dari Kampung Kempas Menang, Kampung Pasir Intan dan Kampung Sayung Pinang di daerah Kota Tinggi menerusi program outreach itu yang bermula Jumaat lalu.