1 OGOS: Kegawatan politik yang melanda negara sekarang ini perlu ditangani dengan cermat dan bijaksana, dan desakan supaya Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan dilihat suatu tindakan yang tidak tepat.
Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, ini merupakan satu keputusan yang tidak adil kepada Muhyiddin yang telah banyak berkorban kepada kerajaan.
Beliau menegaskan pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pihak yang mendesak supaya Muhyiddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Ali melepaskan jawatan sebagaimana disuarakan semasa Sidang Khas Parlimen.
“Desakan itu masih berterusan terutama pihak pembangkang walaupun banyak pandangan menyokong kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“PINTAR dan sebahagian besar ahli-ahli akademik seluruh negara berdiri teguh menyokong kepemimpinan Muhyiddin dan kami mahu agar beliau terus mengemudi negara sebagai Perdana Menteri sehingga penggal ini tamat atau sehingga waktu sesuai bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Apa yang berlaku hanyalah kekhilafan dalam proses dan bukannya penentangan terhadap nasihat Yang di-Pertuan Agong.
“Walau bagaimanapun, bagi mengelakkan masalah dalam hubungan kerajaan dengan Istana Negara maka bolehlah difikirkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ditukarkan ke portfolio lain dalam rombakan kecil Kabinet yang boleh memperkukuhkan kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Roslan berkata, PINTAR turut mencadangkan agar kerajaan dapat menguruskan hubungan dengan istana terutama dengan Agong dapat dilakukan secara diplomasi, dengan adab dan kesopanan.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga mengesyorkan supaya kerajaan akur titah Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Darurat diungkaikan secara rasmi di Parlimen pada satu waktu sesuai bagi memastikan keharmonian politik dan pemerintahan negara berterusan dan perjalanan pentadbiran negara berjalan lancar.
“Kenyataan media terbuka dari pihak Perdana Menteri perlu dilakukan secara berhemah adalah perlu untuk menjelaskan keadaan ekoran kenyataan media terbuka Istana Negara.
“Kami tidak mahu saling berbalas kenyataan media ini terutamanya dari pihak istana kerana kita mahu menjaga institusi diraja agar pihak-pihak yang mahu mempergunakan institusi ini tidak ada ruang berbuat demikian.
“Kami percaya sebarang isu yang timbul boleh diselesaikan melalui kaedah perbincangan dan perundingan di antara pihak-pihak yang terlibat,” katanya.
Tambahnya, pihaknya turut mendoakan agar Perdana Menteri diberikan kekuatan terus mengemudi perjalanan kerajaan dengan baik dan dapat memberikan fokus kepada usaha menangani pandemik COVID-19 dan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN)