2 OGOS: Arab Saudi mengumumkan hukuman denda yang tinggi sebanyak SR500,000 (RM563,000) bagi pengembara dari negara yang terjejas COVID-19 jika melanggar peraturan pencegahan pandemik coronavirus.
Pendakwa Raya dalam kenyataan menyatakan, syarikat penerbangan serta pengendali perjalanan bertanggungjawab mendedahkan butiran pengembara yang tiba dengan penerbangan antarabangsa termasuk sejarah perjalanan.
Pihak berkenaan perlu mengisytiharkan sama ada pengembara itu pernah mengunjungi negara yang terjejas akibat pandemik atau mana-mana strain yang bermutasi.
Memetik laporan Saudi Gazette, sekiranya gagal berbuat demikian tindakan tegas akan dikenakan terhadap tiga pihak berkenaan.
Individu yang ingkar akan berdepan denda hingga setengah juta rial. Individu berkenaan juga serta syarikat penerbangan dan ejen pelancongan akan menanggung segala kerosakan akibat pelanggaran itu.
Jika pelanggaran itu disertai dengan pelakuan jenayah, kes akan dirujuk ke Pendakwa Raya sebelum dibawa ke mahkamah.
Kelmarin Kementerian Haji dan Umrah mengumumkan lebih 20,000 jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi akan menunaikan umrah bermua 10 Ogos ini.
Jurucakap kementerian, Hisham Bin Saeed, berkata kebenaran hanya diberikan kepada jemaah dari negara yang tidak terikat dengan larangan kemasukan oleh Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA).
Katanya, antara negara yang dilarang masuk ke Arab Saudi ialah India, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Ethiopia, Vietnam, Afghanistan dan Lubnan.