2 OGOS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof, menempelak sikap ‘kurang bijak’ lebih 100 Ahli Parlimen pembangkang kerana berkumpul beramai-ramai di Dataran Merdeka selepas dihalang oleh pihak berkuasa daripada memasuki Kompleks Bangunan Parlimen, pagi tadi.
Mohd Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata tindakan ahli Parlimen pembangkang berarak di Dataran Merdeka disifatkan tidak bijak kerana gagal memahami situasi di sebalik penangguhan Sidang Khas Dewan Rakyat yang dibuat berikutan penularan virus Covid-19.
Tambahan pula, Ahli Parlimen Alor Gajar berkenaan berkata, keputusan penangguhan persidangan itu dibuat selaras Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), khususnya kemunculan varian Delta sejak kebelakangan ini.
“Saya juga kecewa dengan sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila terus bermain retorik dan politik dengan mengalakkan demonstrasi jalanan dan secara tidak langsung menunjukkannya gagal memahami fungsi undang-undang menerusi sikap sedemikian.
“Malah saya juga terkejut dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku pemimpin berkaliber apabila terlibat sama dengan Anwar. Beliau tidak harus merendahkan dirinya sama taraf dengan Anwar sedangkannya selama ini mengatakan Anwar tidak layak memimpin negara.
“Bagi Dr. Mahathir yang punyai sikap konsisten dan mempunyai satu sikap iaitu tidak membiarkan apa yang orang lain mahukan dan beliau akan berkolabrasi dengan sesiapa sahaja demi kepuasan egonya. Namun beliau tidak akan membiarkan sesiapa sahaja mengambil apa sahaja kejayaan dilakukan sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
“Kita amat menghormatinya atas sumbangan terhadap negara. Namun dalam situasi Covid-19, kita perlu berganding bahu di belakang kerajaan dan bukannya terus mencetuskan suasana politik sehingga menimbulkan ketidakstabilan tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ni.
Terdahulu, media melaporkan ahli-ahli Parlimen Pembangkang telah berarak ke Bangunan Parlimen dari Dataran Merdeka meskipun Sidang Khas Dewan Rakyat ditangguhkan dan mereka berbuat demikian kerana tidak dibenarkan memasuki premis Dewan Rakyat.
Antara yang turut hadir ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden PAN, Mohamad Sabu; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Presiden Pejuang, Datuk Mukhriz Mahathir.
Dalam pada itu Mohd Redzuan juga menepis segala dakwaan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat menangguhkan sidang Parlimen kerana mempunyai tujuan lain sedangkan perkara itu adalah berlandaskan ketetapan Akta 342.
“Sidang Khas Dewan Rakyat diadakan bertujuan untuk membentangkan dan memberi penjelasan berkenaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada semua ahli Parlimen serta memaklumkan penamatan Ordinan Darurat setelah diperkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Tidak benar sama kali Perdana Menteri mengkompromi perlembagaan dan peraturan mesyuarat dewan. Malah persidangan khas ini ditangguh ke suatu masa yang dibenarkan oleh Akta 342,” katanya.