2 OGOS: Setiap pemimpin harus didampingi oleh penasihat dalam kalangan menteri dan pegawai yang berakhlak mulia yang tidak cukup hanya dengan ilmu dan kebijaksanaan akal.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, apabila menjadi penasihat, mereka mesti bercakap benar dan niat ikhlas kerana ALLAH SWT.
Menurut beliau, seseorang raja atau pemimpin akan menempah kejahatan sekiranya didampingi oleh pembohong yang mengampu, tidak ikhlas dan tidak bertaqwa kepada ALLAH SWT.
“Jika seseorang Rasul itu menjadi pemimpin, Baginda mendapat petunjuk secara langsung daripada ALLAH SWT melalui penurunan wahyu. Rasulullah SAW ialah manusia yang dipilih oleh ALLAH SWT menjadi contoh dan teladan kepada seluruh manusia dalam kehidupan dunia sehingga akhirat.
“Secara khusus, Baginda SAW menjadi teladan sebagai seorang ketua negara, sama ada seorang raja atau seorang pemimpin.
“Bukan sahaja teladan dari sudut amalannya, bahkan juga memberikan peringatan dan nasihat kepada umatnya secara lisan, kerana Baginda SAW mahukan seluruh umatnya terselamat di dunia dan akhirat,” katanya menerusi hantaran Minda Presiden PAS di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi memaklumkan, Ahli Parlimen Marang itu berkata, ketua negara, raja atau pemimpin utama ialah jawatan atau kedudukan yang menjadi amanah paling besar bagi manusia yang ditolak oleh makhluk langit dan bumi kerana takutkan balasan Allah SWT.
Menurut beliau, kedudukan seorang pemimpin menjadi rebutan pada akhir zaman kerana ia merupakan peluang untuk mendapatkan kekayaan dan kesenangan dunia semata-mata tetapi mereka lupa bahawa tanggungjawab yang akan dibawa ke hari akhirat dan segalanya akan dihisab kelak.
“Apabila pemimpin itu leka atau lemah imannya, maka sering kali jawatan paling tinggi itu dijadikan tempat bagi mengejar kekayaan sehingga tiada lagi kepuasan.
“Begitu juga pemimpin yang dikelilingi oleh pengampu yang menipu dan melalaikan bersamanya,” katanya.