2 OGOS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Kampung Selagon dan Kampung Binsulok Beaufort, Sabah; Kampung Belian, Mukim Sungai Pinang, Tumpat dan Kampung Tok Sadang, Mukim Badang, Kota Bharu, Kelantan serta Kuarters Pekerja Ladang Palmlyn, Mukah, Sarawak mulai 4 hingga 17 Ogos ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kerajaan berbuat demikian selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di semua lokaliti terbabit.
Hishammuddin yang juga Menteri Luar Negeri berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my
“Kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di 10 lokaliti di Mukim Kuala Dungun, Dungun dan dua lokaliti di Mukim Bandi, Kemaman, Terengganu; tiga lokaliti di Ulu Dong, Raub, Pahang dan Kampung Pituru Kinarut, Papar, Sabah, mulai 4 hingga 17 Ogos 2021.
“Kerajaan juga mengumumkan penamatan PKPD di dua lokaliti di Mukim Ulu Jelai, Lipis, Pahang; Penjara Sungai Udang (kecuali Kuarters Penjara), Melaka Tengah, Melaka; dua Lokaliti di Penampang, Kampung Marau, dan Kampung Kebawang di Sipitang, . Kampung Meruntum di Putatan, empat lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah dan Kampung Gong Jering, Mukim Bukit Jawa,Pasir Puteh, Kelantan, mulai esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata Pasukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM)
dengan kekuatan 18,675 anggota telah melaksanakan 74,527 pemeriksaan dan snap check COVID-19 bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di seluruh negara.
Beliau berkata hasil pemeriksaan berkenaan pihak berkuasa telah mengarahkan 34 premis perniagaan dan kilang diarahkan tutup serta merta kerana melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN)
“Polis juga mengeluarkan kompaun kepada 348 individu dan 27 lagi direman kerana melanggar SOP ditetapkan kerajaan di seluruh negara, semalam.
“Pihak berkuasa juga menahan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas tiga kenderaan darat dalam Op Bentang di seluruh negara, semalam,” katanya.