2 OGOS: Polis sedang memburu 47 individu daripada 400 individu dipercayai terbabit dengan perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata sehingga kini ini seramai 11 individu sudah hadir bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan berkenaan.
“Satu kertas siasatan berhubung perhimpunan ini dibuka mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan) 2021.
“Oleh itu polis memohon kerjasama daripada orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan 47 individu yang sedang dikesan ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mengulas Lanjut, Azmi berkata, sehingga kini polis sudah menerima 19 laporan dibuat pelbagai pihak di balai polis di seluruh negara.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohamad Hermi Abu Bakar di talian 014-9099144 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222.
Terdahulu, 11 individu dipercayai penganjur hadir ke IPD Dang Wangi, di sini, hari ini, bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan dianggarkan kira-kira 400 individu berkumpul berhampiran Dataran Merdeka, di sini pada Sabtu lalu dianjurkan Sekretariat Soladiriti Rakyat itu dipercayai diadakan bagi meluahkan ketidakpuashatian terhadap kerajaan, bergerak dari Stesen Monorail, Masjid Jamek, kira-kira jam 11 pagi.