2 OGOS: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengumumkan tiga negeri iaitu Perlis, Sarawak dan Labuan bakal beralih ke Fasa 3, Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 4 Ogos ini.
Muhyiddin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan sendiri oleh beliau petang ini.
Beliau berkata perkara itu diputuskan selepas Menteri Penyelaras PPN Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, telah membentangkan perkembangan pelaksanaan PPN.
“Alhamdulillah, sukacita ingin saya umumkan bahawa tiga buah negeri yang menunjukkan prestasi yang amat baik akan beralih ke Fasa 3 PPN iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa Rabu, 4 Ogos 2021.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan. Suka untuk saya mengingatkan agar SOP dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambahbaik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.
“Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya. Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebooknya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata mesyuarat Sidang Khas MKN hari ini juga memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin dan kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.
Beliau berkata perkara berkenaan perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
“Insya’Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambil kira keselamatan rakyat.
“Ingin saya tekankan juga di sini bahawa strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar.
“Lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai yang terlindung, lebih kurang tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka dengan selamat,” katanya. – Oleh Haika Khazi