2 OGOS : Tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun beramai-ramai di ibu kota, ketika negara sedang bergelut dengan penularan pandemik COVID-19 memberikan satu mesej negatif dan tidak baik kepada seluruh rakyat Malaysia.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perbuatan itu jelas memperlihatkan sifat dan tindakan pemimpin pembangkang yang tidak bertanggungjawab mengadakan himpunan tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Apa yang paling membimbangkan, beliau menegaskan tindakan pembangkang ini juga tidak menghormati pandangan serius yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang melaksanakan tugasan mereka secara profesional.
“Mereka tidak menghormati pandangan serius oleh penjawat awam kita dari KKM yang mencadangkan kepada kerajaan untuk menutup Persidangan Khas Dewan Rakyat kerana berlaku satu outbreak di mana begitu banyak kes positif di kalangan para pegawai dan juga mereka yang terlibat dalam sidang tersebut.
“Sidang khas ini pula khusus membincangkan bagaimana nak melalui fasa perit dalam pandemik COVID-19 ke arah pemulihan bagi seluruh negara. Jadi, pembangkang sekarang ini yang tidak menghormati keputusan dan cadangan dari penjawat awam.
“Mereka ini bekerja secara profesional yang memikirkan untuk kebaikan semua dan pembangkang telah melakukan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab dengan mengadakan protes di jalannan tanpa mengikut sop ditetapkan yang telah sama-sama kita jalani selama ini,” katanya kepada PNBBC Portal ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, puluhan Ahli Parlimen pembangkang berarak menuju semula ke Parlimen selepas berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pagi tadi yang tidak berpuas hati kerana Persidangan Khas Dewan Rakyat ditangguhkan disebabkan peningkatan kes COVID-19 di Parlimen.
Dua Ahli Parlimen, enam pegawai pengiring dan 48 pegawai pelbagai agensi kerajaan disahkan positif COVID-19 menerusi ujian saringan dilakukan sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.
Justeru, Ahmad Faizal yang juga merupakan Ahli Parlimen Tambun berkata, tindakan itu amat mendukacitakan dan menjadi kebimbangan pihaknya jika tindakan negatif yang dilakukan wakil rakyat dari pembangkang itu menjadi ikutan kepada orang ramai.
“Jika kelakukan mereka ini menjadi contoh kepada rakyat, maka usaha memperbaiki keadaan menghentikan penularan wabak COVID-19 akan menjadi lebih sukar,” katanya.
Sementara itu, ditanya jika ahli-ahli Parlimen pembangkang perlu diambil tindakan undang-undang, Ahmad Faizal memaklumkan kalau diikutkan peruntukan undang-undang dan SOP sedia ada, mereka boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Namun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Chenderiang itu memaklumkan jika itu terjwd, dilema akan dihadapi kerana inilah kehendak para pemimpin pembangkang untuk dikenakan tindakan dan diharap agar perbuatan melanggar undang-undang ini menjadi contoh kepada para penyokong mereka dan diangkat sebagai ‘hero’.
“Dari segi politiknya akan ada persepsi berbeza kerana jika diambil tindakan akan menampakkan diri pemimpin pembangkang ini sebagai seorang pejuang.
“Walaupun hakikatnya sebenarnya mereka mengambil tindakan-tindakan yang boleh menyusahkan mereka jika terjangkit dengan virus COVID-19 yang cukup berbahaya dan membimbangkan ketika ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH