2 OGOS: Kerajaan akan memperluaskan kaedah pemberian vaksin secara terus atau ‘walk in’ untuk warga emas ke seluruh negara, mulai minggu depan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata perkara itu perlu dilaksanakan selepas, perangkaan semasa di peringkat nasional menyaksikan sebanyak 95 peratus daripada warga emas yang berdaftar sudah menerima suntikan vaksin masing-masing.
Berikutan itu, Khairy berkata Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) membuat keputusan supaya kaedah pemberian vaksin secara ‘walk in’ yang dilaksanakan di Lembah Klang, diperluaskan di semua negeri.
“CITF telah membuat keputusan hari ini untuk memperluaskan kaedah “walk-in” khususnya bagi warga emas di seluruh negara bermula minggu hadapan.
“Ada negeri-negeri yang telah mula dan ada negeri-negeri yang akan bersedia untuk menerima ‘walk-in’ untuk semua warga emas yang masih lagi belum menerima vaksin mereka di PPV yang ada di negeri-negeri,” katanya pada sidang media mingguan perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata pengumuman lanjut akan dibuat oleh CITF negeri-negeri namun secara dasarnya CITF di peringkat persekutuan telah membuat keputusan dan memberikan kuasa kepada CITF negeri untuk memulakannya.
“Kita serah kepada negeri-negeri untuk membuat pengumuman tarikh pelaksanaan dan PPV yang akan menerima ‘walk-in’ untuk golongan warga emas.
“Kita telah turunkan kuasa kepada CITF negeri untuk membuat pengumuman tentang inisiatif tersebut,” katanya.
Beliau berkata warga emas bagi seluruh warga Lembah Klang boleh terus hadir secara ‘walk-in’ ke mana-mana PPV yang ada untuk mendapatkan suntikan vaksin jika masih belum memperoleh suntikan.
Khairy berkata baki kira-kira tiga peratus individu dewasa di Lembah Klang yang belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, akan diberikan janji temu secepat mungkin.
“Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang walaupun tidak berjaya 100 peratus, tetapi kita berupaya memberikan janji temu dan vaksin kepada 97 peratus daripada individu dewasa.
“Baki yang ada, iaitu tiga peratus lagi, meliputi mereka yang terpaksa batalkan janji temu atau tidak hadir kerana sebab tertentu, akan diselesaikan (diberi janji temu dan suntikan vaksin) pada minggu pertama Ogos.
“Dua kaedah akan digunakan bagi tujuan ini, iaitu menerusi ‘walk in’ mengikut dua kategori penerima seperti kita umumkan sebelum ini, manakala satu lagi ialah program jangkauan komuniti.
“Program jangkauan komuniti lebih menyasarkan kepada golongan yang tinggal di pinggir bandar supaya mereka juga tidak tercicir daripada mendapat perlindungan imunisasi,” katanya.