3 OGOS: Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menjadi wakil rakyat UMNO pertama meletak jawatan sebagai Anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Shamsul Anuar berkata beliau membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, selepas mengambil kira keputusan dan pendirian UMNO muktahir ini.
“Pertama saya merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana saya diberikan peluang berkhidmat sebagai Menteri Tenaga Dan Sumber Asli dan pastinya pimpinan UMNO yang mencadangkan saya sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan.
“Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti. Maka, sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti. Saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan ringkasnya hari ini.
Beliau dalam masa sama merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak dan kepada semua warga Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
“Tumpuan saya selepas ini ialah memberikan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar,” katanya.