4 OGOS : Malaysia mencatatkan kematian harian tertinggi hari ini sejak penularan COVID-19 di negara ini dengan 257 kes dilaporkan setakat tengah hari tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 9,855 kes atau 0.83 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau berkata, kes kematian itu membabitkan 226 warganegara, manakala 31 lagi warga asing sekali gus mengatasi angka kematian tertinggi sebelum ini yang dilaporkan pada 2 Ogos lalu iaitu 219 kematian.
“Sebanyak 257 kes kematian pada hari ini dan daripada jumlah itu, 91 kes adalah di Selangor, 74 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 25 kes di Johor, 24 kes di Melaka dan masing-masing sembilan kes di Negeri Sembilan dan Perak.
“Selain itu, lapan kes di Kedah, enam kes di Sabah, empat kes di Terengganu, masing-masing tiga kes di Pulai Pinang dan Kelantan, serta satu kes di Pahang,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan kes baharu hari ini mencatatkan peningkatan kepada 19,819 dan daripada jumlah itu, 19,796 kes daripada adalah kes tempatan manakala 23 lagi merupakan kes import.
Beliau berkata, jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) pula ketika ini adalah seramai 1,069 orang termasuk dan 533 yang memerlukan bantuan pernafasan menjadikan kumulatif kes aktif sebanyak 210,522 kes.
“Daripada 19,819 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 375 kes daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala sebanyak 19,444 kes lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.
“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.
“Secara keseluruhan, hanya 3,592 kes (18.1 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19,” katanya.
Sementara itu beliau berkata sebanyak 35 kluster baharu dilaporkan hari ini dan daripada jumlah itu, 20 adalah kluster berkaitan kluster komuniti, 14 kluster di tempat kerja dan satu merupakan kluster berkaitan keagamaan.
“Jumlah keseluruhan kluster kini berjumlah 3,796 dan sebanyak 2,635 kluster telah ditamatkan di samping hanya 1,161 kluster yang masih aktif,”katanya- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH