4 OGOS: Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan lokaliti di Perak, Johor, Kelantan, Sabah dan Selangor, mulai Khamis ini hingga 19 Ogos 2021.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan berbuat demikian selepas meneliti laporan dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kawasan dilaksanakan PKPD terbabit.
Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my.
“Antara lokaliti berkenaan ialah Taman Puteri, Kluang di Johor; Taman Sri Kebakat, Tumpat, Kelantan; dua lokaliti di Kunak iaitu Perumahan Ladang Mostyn dan Kampung Kasnuri, Kampung Kuala Mengalong, Sipitang, dua lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Kampung Tanjung Aru Lama dan Universiti Apartment 1 kesemuanya di Sabah.
“Turut dikenakan PKPD ialah Kampung Menteri Kuala Sepetang, Mukim Matang, Larut Matang Selama dan dua kilang Comfort Rubber Glove dan Asrama Kilang Comfort Glove di Larut Matang Selama serta Kampung Belum Baru, Hulu Perak, Perak dan Gugusan Semarak, PJU 5, Kota Damansara, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Luar Negeri mengesahkan Pasukan Task Force Pematuhan juga mengeluarkan 248 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan ingkar SOP, semalam manakala 25 individu lagi direman.
Katanya, 41 premis membabitkan kilang, tapak perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP.
Tambahnya, serama 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan tiga kenderaan darat turut dirampas dalam Operasi Benteng semalam