4 OGOS: Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong berjaya menyelesaikan kemelut keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.
Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Shamrahayu Ab Aziz berkata, biarpun berlaku penarikan sokongan beberapa Ahli Parlimen UMNO namun ia masih tidak cukup untuk membuktikan bahawa Perdana Menteri sudah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Shamrahayu berkata, ini kerana selepas memanggil Perdana Menteri mengadap pagi tadi, Yang di-Pertuan Agong kemudiannya berkenaan Muhyiddin meneruskan tugas mentadbir negara.
“Apa yang dinyatakan sokongan atau tarik balik sokongan, itu tidak menjadi bukti yang kukuh untuk menyatakan bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti.
“Itu penting untuk kita selesaikan persepsi bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti. Dari segi undang-undang, penarikan balik sokongan itu bukanlah satu-satunya cara apabila berlaku di luar Dewan Rakyat, seperti yang dinyatakan dalam Perutusan Khas Perdana Menteri tadi.
“Perdana Menteri juga menyatakan beliau mempunyai bukti-bukti dari segi dokumen iaitu akuan bersumpah (SD) bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Jadi di sini memerlukan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan apabila dinyatakan dalam Perutusan Khas itu bahawa Tuanku telah perkenan Perdana Menteri kekal mengendalikan pentadbiran, itu seolah-olah telah diterima dan diperkenan oleh baginda,” katanya ketika ditemu bual dengan sebuah stesen televisyen swasta hari ini .
Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, ahli-ahli politik perlu mentaati titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan Muhyiddin untuk terus mentadbir negara ketika ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri juga perlu untuk membawa Usul Undi Percaya di Dewan Rakyat pada September depan, walaupun dinamika politik mungkin berlaku dalam tempoh sebulan ini.
“Baginda telah memperkenankan supaya Usul Undi Percaya itu dibawa pada September.
“Saya seru kepada semua orang politik ini supaya mentaati titah Tuanku, kalau kita kata, kita menjunjung titah Agong yang memperkenankan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan tugas sebagai ketua kepada Jemaah Menteri. Ini termasuk juga menunggu saat di mana usul tersebut akan difailkan,” katanya.