4 OGOS : Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berpandangan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal relevan bagi rakyat di negara ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri itu memaklumkan, kerajaan sedia ada mengutamakan kebajikan rakyat melalui pelbagai pakej bantuan yang disalurkan terutama ketika tempoh pandemik COVID-19.
Menurut beliau, ketika pimpinan Pakatan Harapan (PH) sering kali diperkatakan bahawa kerajaan tidak mempunyai wang malah banyak jalan persekutuan di Kelantan yang tidak dapat diselenggara dengan alasan itu.
“Selepas perubahan kerajaan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan terus memberi bantuan sehingga tidak kedengaran lagi ‘cakap-cakap’ kerajaan tiada duit dan sebagainya.
“Kita yakin rakyat di negara ini masih terus menyokong kerajaan yang dipimpin Muhyiddin Yassin dan menteri gabungan pelbagai parti,” katanya kepada media, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan UMNO yang menarik diri daripada kerajaan PN, semalam.
Dalam pada itu, Che Abdullah yang juga Setiausaha PAS Kelantan memaklumkan, penarikan sokongan UMNO terhadap kerajaan PN tidak memberi kesan kepada kerajaan Kelantan kerana mempunyai majoriti yang cukup.
“Walau apa pun yang berlaku kerajaan Kelantan akan kekal, tiada masalah dan tidak tergugat,” katanya