4 OGOS: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini, mengumumkan peletakan jawatannya selaku Pengerusi Boustead Holding Berhad, berkuat kuasa esok.
Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor, menegaskan beliau berbuat demikian selari dengan keputusan
UMNO menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya dengan ini mengumumkan peletakan jawatan saya selaku Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Boustead Holdings Berhad berkuat kuasa Khamis, 5 Ogos 2021.
“Ini sebagai mengambil tanggungjawab saya selaku ahli parti yang akan terus akur dan hormat dengan sebarang keputusan serta ketetapan parti,” katanya dalam satu kenyatan ringkas hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ahli-ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan Boustead Holdings Berhad yang telah memberi komitmen dan kerjasama yang sangat baik sepanjang perkhidmatannya selaku Pengerusi kepada syarikat sejak Mei 2020.
“Saya yakin dan percaya syarikat kini berada di landasan yang tepat untuk terus berperanan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam memastikan pulangan berterusan kepada pemegang saham utama iaitu tabung persaraan tentera, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya.