4 OGOS: Pertemuan sekumpulan ahli Parlimen UMNO bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanyalah perbincangan mengenai keputusan parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, dalam pertemuan yang berakhir kira-kira jam 1.45 pagi Rabu itu juga tiada sebarang peletakan jawatan baharu dimaklumkan.
”Tak ada letak jawatan, yang ada dua tiga orang itu pun belum confirm (pasti),” katanya kepada media ketika ditanya hasil pertemuan tersebut oleh para wartawan yang menunggu di perkarangan Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, malam tadi.
Sementara itu, turut kelihatan beredar meninggalkan hotel tersebut Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang enggan mengulas apabila ditanya tentang pertemuan dengan Naib Presiden UMNO itu.
Terdahulu Ismail Sabri tiba di Seri Pacific kira-kira jam 12.30 pagi selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara.