4 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hilang keabsahannya dan masih sah sebagai Perdana Menteri walaupun UMNO mengumumkan menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Ahli Parlimen Pagoh itu.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata, ia kerana keputusan parti tidak membawa sebarang implikasi kepada kerajaan melainkan ia dilakukan secara perundangan.
Menurut beliau, ia boleh dilakukan menerusi Parlimen sama ada tidak menyokong Perdana Menteri secara rasmi melalui undian ataupun mempersembahkan keputusan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui kaedah tertentu.
“Tetapi secara moralnya Perdana Menteri (Muhyiddin) barangkali sudah boleh menjangkakan bahawa kerajaan beliau sudah tidak lagi mempunyai majoriti yang diperlukan kerana hilang sokongan UMNO yang merupakan komponen yang terbesar.
“Justeru, sepatutnya beliau harus segera membawa sembah bagi memulangkan perkara itu untuk ditentukan dalam Parlimen bagi mengelakkan permasalahan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media mengulas situasi semasa politik negara susulan UMNO semalam mengambil pendirian tidak mempertahankan kerajaan PN sekali gus mendakwa keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kini terbatal.
Sementara itu, Penganalisis Politik daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata kerajaan PN masih belum tumbang selagi belum ada sebarang pengumuman daripada Istana Negara berhubung keabsahan pentadbiran Muhyiddin.
“Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi maklumkan beliau sudah serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong senarai ahli Parlimen yang tidak lagi menyokong Muhyiddin dan sekarang Muhyiddin perlu menghadap Seri Paduka Baginda untuk membuktikan bahawa beliau juga ada sokongan.
“Buat masa ini, mungkin sebahagian dalam UMNO masih menyokong Muhyiddin, namun persoalannya adakah itu cukup untuk beliau kekal sebagai Perdana Menteri dan membentuk kerajaan,” katanya.