4 OGOS : Datuk Bandar New York, Bill De Blasio mengumumkan dasar baharu ‘Kunci ke NYC’ yang bakal dilaksanakan di mana bandar tersebut akan mewajibkan bukti vaksinasi untuk membolehkan orang ramai memasuki tempat awam tertutup seperti restoran dan gimnasium.
Dasar tersebut akan dilancarkan pada 16 Ogos depan sebagai tempoh peralihan sebelum berkuat kuasa sepenuhnya sebulan kemudian.
Selain itu, kesemua puluhan ribu penjawat awam di negeri berkenaan dikehendaki menunjukkan bukti vaksinasi atau perlu menjalani ujian saringan secara mingguan.
Dengan pengumuman itu, New York bakal menjadi bandar pertama di Amerika Syarikat (AS) yang mewajibkan bukti vaksinasi sebelum memasuki premis awam yang tertutup.
“Jika sudah divaksinasi, anda ‘mempunyai kunci dan boleh membuka pintu’ bandar ini. Jika anda belum divaksinasi, anda tidak akan dapat melakukan banyak perkara di bandar ini,”
“Sudah tiba masanya untuk orang ramai melihat vaksinasi sebagai keperluan bagi menjalani kehidupan yang bagus, penuh dan sihat,” kata de Blasio pada satu sidang media.
Antara lain, New York bakal mewajibkan semua petugas penjagaan kesihatan yang ‘berurusan dengan orang awam’ untuk mendapatkan vaksinasi, bermula September.
Sebanyak 71.8 peratus daripada golongan dewasa di New York yang mempunyai lebih lapan juta penduduk, sudah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin COVID-19, menurut perangkaan rasmi.