4 OGOS: Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengecam tindakan lapan ahli Parlimen dari UMNO dan pihak pembangkang yang cuba mengganggu-gugat kestabilan politik pada saat kerajaan dan frontliner sedang bertungkus-lumus berperang melawan COVID-19.
Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berkata Pemuda PN juga menjunjung kasih di atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri di Parlimen.
Khairil Nizam berkata Pemuda PN akan terus berdiri teguh dan berkeyakinan penuh bahawa Perdana Menteri masih mempunyai majoriti selesa untuk terus mentadbir, membawa Malaysia keluar dari krisis COVID-19 melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pemuda PN mengecam tindakan lapan ahli parlimen dan pihak pembangkang yang cuba mengganggu-gugat kestabilan politik tatkala kerajaan dan frontliner sedang bertungkus-lumus berperang melawan COVID-19.
“Pemuda PN juga memuji ketegasan dan prinsip Perdana Menteri menghormati Kedaulatan Undang-Undang dengan tidak melayan desakan supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
“Pemuda PN sentiasa berpegang pada konsep budaya politik matang dan sejahtera (BPMS), dan akan meneruskan politik khidmat bakti pada rakyat. Musuh kita adalah COVID-19, bukan sesama kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.