4 OGOS: Satu petisyen dalam talian yang mahukan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri dan menyelamatkan Malaysia mendapat lebih 35,000 tandatangan warganet.
Petisyen itu telah dimulakan oleh Pertubuhan Nasionalis Muda Malaysia di laman www.change.org menyasarkan untuk meraih 35,000 tandatangan telah berjaya melepasi sasaran dan pertubuhan tersebut telah membuat sasaran baharu iaitu meraih 50,000 tandangan daripada orang ramai.
Setakat jam 1 tengah hari ini, petisyen itu telah mengumpul lebih 36,226 tandatangan daripada wargamaya yang membuktikan rakyat masih mahukan Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
Pertubuhan Nasional Muda Malaysia menerusi kenyataan mengajak rakyat di negara ini untuk menandatangani petisyen bagi menyokong dan mengekalkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Pertubuhan itu memaklumkan pihaknya ingin mahu mengekalkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri agar Kerajaan dapat membangunkan negara ketika pandemik COVID-19 melanda.
“Berhentilah berpolitik, bercakaran sesama sendiri. Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia perlu fokus untuk lindungi dan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia dari ancaman COVID-19.
“Kita berhadapan dengan musuh yang hebat iaitu virus COVID-19, janganlah asyik berpolitik, tumpukan usaha untuk menang melawan pandemik,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri mengambil tindakan yang amat dihormati orang ramai apabila akan menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri menerusi suatu usul undi percaya kepadanya yang akan dibentangkan di Persidangan Dewan Rakyat pada September ini.
Melalui cara tersebut, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan dalam ditentukan berlandaskan peruntukan Perlembagaan.
Perkara itu telah pun dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika sesi menghadap Seri Paduka, pada jam 11 pagi tadi di Istana Negara. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH