4 OGOS: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi ini.
Kenderaan yang membawa beliau dilihat keluar dari Jalan Setia Bakti 5, Kuala Lumpur pukul 10.49 pagi dengan diiringi pengawal pengiring dan anggota trafik.
Beliau yang memakai songkok menurunkan cermin di bahagian tempat duduknya sempat melambai ke arah petugas media.
Terdahulu, sekumpulan pengamal media menunggu di pintu masuk kediaman peribadi Muhyiddin sejak pukul 7 pagi.
Keadaan sama berlaku sejak malam tadi apabila beberapa menteri dan pemimpin politik mengadakan perjumpaan Muhyiddin di rumahnya.
Meskipun hujan renyai-renyai, namun pertugas media tidak berganjak untuk mendapatkan berita-berita terkini di lokasi.
Kediaman Perdana Menteri menjadi tumpulan selepas Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam memutuskan menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan beberapa ahli Parlimen parti itu juga dilapor sudah menandatangani aku janji menarik sokongan kepada Muhyiddin untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perkembangan tersebut menyaksikan Kerajaan PN hilang sokongan, sekali gus menimbulkan pelbagai kemungkinan berlaku pada hari ini.
Tumpuan utama kini lebih terarah sama ada Muhyiddin akan meletakkan jawatan selepas hilang kepercayaan atau masih mempertahankan kedudukan setelah mendakwa masih mempunyai sokongan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen kerajaan.
Muhyiddin dijangka mengadakan Mesyuarat Pra-Kabinet pada jam pukul 12 tengah hari di pejabatnya di bangunan Perdana Putra.