4 OGOS : Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dilantik sebagai pengerusi baharu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)berkuat kuasa 3 Ogos 2021.
Pelantikan Mohamed Noor itu untuk menggantikan Jeneral (Bersara) Datuk Seri DiRaja Mohd Zahidi Zainuddin yang bersara selepas berkhidmat sebagai Pengerusi LTAT sejak Ogos 2018.
Raja Mohamed Affandi pernah menyandang jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-19 pada 16 Disember 2016 dan bersara pada 2018 selepas 42 tahun menabur bakti menabur khidmat bakti di dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Sebelum menerajui ATM sebagai Panglima Angkatan Tentera, Raja Mohamed Affandi dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang ke-25 pada 2013.
Raja Mohamed Affandi mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan (Australia) dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik (Pakistan).
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Rahman, berkata LTAT mengalu-alukan kedatangan Raja Mohamed Affandi sebagai Pengerusi LTAT yang baharu.
Menurutnya, dengan pengalaman beliau dalam kepimpinan ketenteraan, beliau dilihat mampu membawa bersama tradisi kepimpinan yang efektif yang akan memandu LTAT dalam perjalanan transformasi menjadi sebuah dana persaraan yang mampan dan berdaya saing.
Menurutnya, sebagai Pengerusi LTAT terdahulu, Zahidi memainkan peranan yang amat penting dalam memberi pandangan serta hala tuju untuk pelaksanaan amalan tadbir urus korporat yang baik serta memainkan peranan besar dalam menyumbang buah fikiran dalam proses merangka Pelan Transformasi LTAT.
“Saya mewakili warga LTAT, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas segala khidmat bakti serta kebijaksanaan Zahidi sepanjang beliau berkhidmat sebagai pengerusi kami,” katanya.