4 OGOS: Tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan mencampuri kes mahkamah tepat dan patut dipuji kerana mampu memelihara kebebasan institusi kehakiman.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), Dr Muhammad Mohan berkata ketegasan Perdana Menteri itu penting bagi memastikan badan kehakiman terus mendapat kepercayaan rakyat.
Muhammad berkata, Perdana Menteri juga berhak membuat laporan polis terhadap desakan supaya membebaskan individu tertentu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
“Perdana Menteri harus membuat laporan polis berikutan isu ini serius kerana wujudnya individu yang minta campur tangan dalam urusan kehakiman.
“Tindakan Perdana Menteri adalah bagus berikutan mahkamah seharusnya bebas daripada sebarang campur tangan dan berhak membuat keputusannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan dibuat Perdana Menteri yang percaya pihak mencetuskan kemelut politik ketika ini, tidak senang dengannya kerana beliau enggan mencampuri urusan mahkamah.
Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan berkata, pihak berkenaan tidak selesa dengan ketegasannya yang enggan melayan desakan mereka supaya membebaskan individu tertentu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
Mengulas lanjut Muhammad berkata, pihaknya terkejut dengan pendedahan dibuat Perdana Menteri kerana keberanian pihak tertentu mendesak pemimpin tertinggi negara untuk mencampuri urusan mahkamah adalah suatu tindakan melampau.
Beliau berkata, budaya sebegini tidak seharusnya wujud termasuk dalam kalangan pemimpin politik kerana badan kehakiman perlu adil dan bebas membuat keputusan tanpa campur tangan politik.
“Kita hairan sepatutnya isu mahkamah tidak bolehlah ada sebarang campur tangan. Selama ini kita tidak terfikir wujud keadaan seperti ini (desakan untuk melepaskan seseorang) namun ia wujud dan ia menunjukkan mentaliti individu ini sudah teruk.
“Kita sangat kecewa dengan tindakan individu tertentu yang berani membuat desakan berkenaan dan budaya begini harus dihentikan,” katanya.