4 OGOS: Rakyat diseru agar berwaspada terhadap pemimpin dan parti politik yang berpegang kepada kaedah matlamat menghalalkan segala cara.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menggesa orang ramai agar berhati-hati dengan media tajaan asing bagi menjayakan agenda mewujudkan kerajaan proksi yang boleh digunakan tanpa peduli rakyat yang menjadi korbannya.
Menurut beliau, bencana yang berlaku kepada Afghanistan dan Iraq dijadikan medan perang cukup menjadi pengajaran kepada semua dan perlu disedari bahawa tidak ada negara yang menjadi kuasa besar dunia akan kekal selama-lamanya.
“Oleh itu, jangan sekali-kali percaya kepada jaminan perlindungan yang kononnya ikhlas daripada kuasa besar itu. Kita wajib bersikap bijak dan tidak menjadi mangsa korban serta pangkalan atau proksi kepada pertembungan yang mengorbankan diri kita bagi pihak negara kuasa besar itu.
“Maka, kita mesti menolak parti dan pemimpin yang dicaturkan oleh pihak lain. Jadilah umat yang merdeka sepenuhnya. Selamatkan negara daripada dipergunakan rakyat dan tanah air oleh mereka. Jangan ulangi sejarah hitam yang menyedihkan. Tegakkan negara yang benar-benar merdeka dan berdaulat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Namun, Abdul Hadi menegaskan, serangan pemikiran melalui media upahan menghakis kesedaran politik, di mana menjadikan orang bosan kepada politik sehingga meninggalkan kewajipan mempertahankan kuasa yang menyelamatkan umat.
“Akhirnya, kuasa jatuh ke tangan mereka yang menjadi alat kepada musuh tersebut. Maka, bacalah media dengan penuh kesedaran dan bijak sehingga memahami segala yang tersirat, bukan sahaja yang tersurat.
“Khususnya kita berada pada zaman fitnah yang banyak kebohongan yang mengelirukan dengan peranan media yang menjadi senjata perang yang meruntuhkan jati diri.
“Maka kenali media yang paling laris menjadi propaganda mereka, serta parti dan para pemimpin yang dipergunakannya. Jadilah umat dan negara yang berdaulat bukan menjadi alat,” katanya.
Sementara itu, Abdul Hadi menggesa umat Islam berwaspada dalam pergolakan politik antarabangsa terkini, di mana wujud pertembungan antara kuasa besar Barat, Amerika dan sekutunya yang berdepan dengan kuasa besar Timur khususnya China.
Beliau mengesahkan bahawa kuasa terkini Amerika dan sekutunya merancang strategi mencari negara yang jauh daripadanya untuk menjadi barisan hadapan pertahanan khususnya di negara Asia Tenggara.
“Malaysia yang terletak antara Laut China Selatan dan Selat Melaka bakal mengulangi senario Perang Dunia Kedua dalam bentuk baharu dengan menyediakan kerajaan yang bersedia menjadi proksi kepadanya dan mendukung para pemimpin dan parti politik yang bersedia menubuhkan kerajaan proksinya.
“Senjata sulit yang halus menggunakan media yang ditaja oleh pihak asing dan tidak berakhlak, diberi peranan untuk mempengaruhi rakyat supaya tidak ada kepekaan politik yang sedar dan insaf.
“Media tersebut digunakan untuk melekakan rakyat supaya terlupa bakal menjadi sasaran dan mangsa korban percaturan politik kuasa besar tersebut,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH