5 OGOS: Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menolak dakwaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kononnya beliau ada membuat tawar-menawar supaya Ahli Parlimen Muar itu kembali menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Berikutan itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menafikan tohmahan jahat dibuat bekas Menteri Belia dan Sukan terbabit.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang tohmahan yang telah dilontarkan kepada saya. Saya tidak membuat apa-apa tawaran atau ugutan. Ini tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Dakwaan bahawa kes mahkamah yang sedang dihadapi telah ‘direka’ adalah tidak berasas kerana laporan polis yang membawa kepada kes ini dibuat oleh Syed Saddiq sendiri.
“Sekiranya beliau yakin bahawa beliau tidak bersalah, mahkamah adalah forum terbaik untuk membuktikan kebenaran ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal bahawa beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Syed Saddiq, namun ia adalah atas kapasiti peribadi dan persahabatan.
“Saya ingin mengesahkan bahawa terdapat pertemuan antara kami berdua baru-baru ini. Saya menganggap YB Syed Saddiq sebagai sahabat, adik dan rakan seperjuangan.
“Idea yang saya bawakan adalah mengetepikan perseteruan politik dan menggembleng semangat penyatuan anak muda demi untuk membina semula negara secara bersama.
Terdahulu, Syed Saddiq Syed yang sedang menghadapi tuduhan menyeleweng dana BERSATU, mendakwa Wan Ahmad Fayhsal memujuknya untuk kembali kepada parti itu dan menyokong kerajaan PN.