5 OGOS: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi COVID-19 pada esok atau lusa.
Muhyiddin berkata, ketika ini kerajaan pada peringkat akhir memutuskan perincian berhubung kelonggaran itu.
“Esok atau lusa saya akan buat pengumuman yang ditunggu-tunggu ramai membabitkan mereka yang sudah dapat dua dos vaksin.
“Contohnya, kelonggaran dan kemudahan yang akan diberi membabitkan rentas negeri atau daerah, nak jumpa ibu bapa, suami isteri terpisah atau anak, itu akan diputuskan.
“Kelonggaran berkenaan membabitkan juga sektor sosial seperti ‘dine in’ (makan di premis makanan) bersama keluarga. Maka jika diumumkan kelonggaran nanti, restoran akan dibenarkan dibuka dan ia akan diputuskan sehari dua ini,” katanya selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mobil FELDA Lenga Batu 27, di Pagoh, Johor, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan biarpun sibuk dengan tugas harian sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, sempat meluangkan masa untuk meninjau masalah dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk di kawasan Parlimen Pagoh, Johor, hari ini.
Beliau yang tiba dari ibu kota dengan menaiki helikopter memulakan acara lawatan dengan menyampaikan sumbangan Bakul Prihatin Negara kepada isi rumah yang terkesan dengan pandemik COVID-19 di Kampung Batu 23, Lenga, di Pagoh.
Kehadiran beliau disambut dengan alunan bacaan selawat oleh penduduk kawasan berkenaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Perdana Menteri juga mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dataran Felda Batu 27, Lenga serta menyampaikan sumbangan makanan basah kepada masyarakat Felda Moakil di lokasi sama.
Muhyiddin kemudian meneruskan program ziarah dan agihan sumbangan Bakul Prihatin Negara kepada seorang warga emas, Ismail Simat di kawasan Felda itu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir dijadual akan meneruskan penyampaian sumbangan makanan basah dan Bakul Prihatin Negara kepada penghulu-penghulu Mukim dan keluarga yang sedang menjalani kuarantin di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, Pagoh, esok.