5 OGOS: Ahli Parlimen BN Kimanis, Datuk Mohamad Alamin mengesahkan beliau kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin biarpun UMNO mengumumkan keputusan menarik sokongan.
Mohamad berkata beliau masih menyokong kerajaan PN seperti pendiriannya sebelum ini dan yakin tiada perubahan berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri Sabah dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Saya akan terus memberi sokongan kerajaan PN dan soal kedudukan Perdana Menteri itu, kita serahkan kepada Parlimen sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri pada tengah hari tadi,” katanya menerusi satu kenyataan ringkas hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen BN Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib menerusi kenyataan memaklumkan memberi sokongan penuh kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam kenyataannya berkata beliau membuat keputusan menyokong Perdana Menteri dan kerajaan kerana amanah kepada bangsa, agama dan juga negara.
“Saya juga menjunjung titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Sebagai Timbalan Menteri Persekutuan, patik akan terus melaksanakan dan memberi khidmat sehabis baik dengan jujur, bersih, cekap dan amanah,” katanya.
Pada masa sama, Ismail berkata, beliau menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap nasib rakyat dan isu semasa yang melanda negara ketika ini.
“Sesungguhnya patik merafak sembah mohon menyembah taat setia patik yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku dan Raja Permaisuri Agong dari dulu sehingga akhir hayat patik.
“Patik juga akan sentiaa menjaga dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu selagi nyawa dikandung badan,” katanya.