5 OGOS: Parti Maju Sabah (SAPP) menyakini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, apabila usul undi percaya itu dibentangkan di Persidangan Dewan Rakyat pada September ini.
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, berkata beliau yakin Muhyiddin mampu meneruskan kepemimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun berdepan undi percaya di Parlimen nanti.
“Kita seharusnya kagum dengan cara Muhyiddin yang tenang dan tidak goyah menangani cabaran politik yang dilemparkan terhadapnya.
“Inilah sepasang tangan mantap dan pasukan kuat yang sangat diperlukan negara dalam tempoh yang kritikal seperti sekarang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengambil tindakan yang amat dihormati orang ramai apabila akan menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri menerusi suatu usul undi percaya kepadanya yang akan dibentangkan di Persidangan Dewan Rakyat pada September ini.
Melalui cara tersebut, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan PN sebagai kerajaan dalam ditentukan berlandaskan peruntukan Perlembagaan.
Mengulas lanjut, Teck Lee berkata, undi percaya bagi menentukan sokongan majoriti Perdana Menteri adalah perkara yang paling tepat untuk dilaksanakan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik memaklumkan perkara itu selaras dengan Perlembagaan dan demokrasi berparlimen dalam sistem raja berperlembagaan.
“Ia juga cara paling berkesan untuk memuktamadkan budaya politik tidak berkesudahan yang menyebabkan banyak kesusahan dan kekecewaan kepada rakyat.
“Rakyat mahu melihat suara hingar-bingar mahu menjadi Perdana Menteri dihentikan dan benarkan Perdana Menteri serta kerajaannya melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Sementara itu, Teck Lee memberitahu dengan proses vaksinasi yang semakin rancak, negara kini di landasan yang tepat untuk mencapai imuniti kelompok dan membuka semula ekonomi dalam masa beberapa bulan lagi.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata kejayaan ini dilihat mungkin situasi yang ditakuti pembangkang dan ahli politik yang terdesak kerana pandemik COVID-19 akan berakhir tidak lama lagi, manakala ekonomi akan kembali pulih.
“Kita perlu ingat bahawa Pakatan Harapan (PH) yang mensia-siakan mandat rakyat kepada mereka dengan menjerumuskan diri dalam perebutan kuasa yang kemudian menjatuhkan kerajaan mereka sendiri.
“PH melakukan bunuh diri politik pada Februari 2020 apabila Perdana Menteri PH meletak jawatan selepas perebutan kuasa dalaman yang berpanjangan dalam pakatan berkenaan,” katanya.