5 OGOS: Tindakan UMNO yang menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti yang termaktub di dalam piagam Muafakat Nasional (MN).
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS dukacita dengan tindakan UMNO berkenaan yang sekali gus menjejaskan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara dan usaha kerajaan PN memerangi penularan COVID-19 sekarang.
“Tindakan itu juga tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti yang termaktub di dalam piagam Muafakat Nasional. Ia secara tidak langsung akan menggugat perancangan PPN dan usaha menangani penularan COVID-19, serta usaha membantu rakyat yang terjejas teruk kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 3 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membuat ketetapan bahawa UMNO menarik balik sokongan diberikan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta merta.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menegaskan, kekuatan politik Melayu Islam tetap perlu dipertahankan demi kestabilan politik seluruhnya.
“Pas kekal yakin dengan asas penubuhan Muafakat Nasional yang bermatlamatkan kesatuan ummah serta membina kekuatan politik Melayu Islam perlu terus dipertahankan demi kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara,” katanya.