5 OGOS: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan bahawa beliau menerima pelantikan sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, demi kepentingan rakyat dan Negara.
Berikutan itu Ahmad Faizal menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberikan kepercayaan untuk memegang jawatan terbabit.
“Saya akan memastikan tanggungjawab digalas dengan baik demi kepentingan rakyat dan negara.
“Saya akan berusaha gigih bagi membantu Perdana Menteri. Usaha yang paling utama dan penting kini adalah penyelesaian kepada krisis kesihatan dan ekonomi yang menjejaskan rakyat dengan segera dan efisien.
“Semoga Allah SWT kurniakan rahmat dan perlindungan buat kesemua pemimpin dan rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan di hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak, dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Bertaraf Menteri.
Perkara itu disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan kenyataan ringkas sebentar tadi.
“Beliau yang Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Ahli Parlimen Tambun akan bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosio-ekonomi.
“Pejabat ini mengucapkan tahniah kepada YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu di atas pelantikan ini,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan sebentar tadi.