5 OGOS: Polis hari ini merakam keterangan tiga lagi Ahli Parlimen PH bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan haram di Dataran Merdeka, pada Isnin lalu
Tiga ahli Parlimen PH yang hadir memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini ialah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Ini menjadikan jumlah Ahli Parlimen PH yang dirakam keterangan kerana menghadiri perhimpunan haram berkenaan adalah sembilan orang, sejak semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mereka hadir ke IPD Dang Wangi secara berperingkat bermula 10 pagi tadi.
“Saya percaya lebih ramai ahli Parlimen akan hadir untuk membantu siasatan perhimpunan itu dalam masa terdekat.
“Kita mahu rekod percakapan perlu lihat kesesuaian dan kelapangan masa ahli Parlimen terbabit,” dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, enam ahli Parlimen iaitu Lim Lip Eng (Kepong); Dr. Maszlee Malik (Simpang Renggam); Tony Pua (Damansara); Fahmi Fadzil (Lembah Pantai); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan Hannah Yeoh (Segambut) hadir memberi keterangan di .
IPD Dang Wangi, berhubung kes sama.
Sebelum ini media melaporkan Polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka susulan 206 laporan polis diterima di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan dibuat mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U.(A) 293.
Acryl Sani berkata siasatan juga akan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).