5 OGOS : Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pembentangan usul undi percaya kepada beliau pada Persidangan Dewan Rakyat September ini membuktikan kredibiliti beliau sebagai seorang Perdana Menteri.
Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub, Dr Jazimin Zakaria berkata, tindakan itu mampu memberikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Muhyiddin serta kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kalau Perdana Menteri berjaya, undian (undi percaya) itu akan menunjukkan mempunyai sokongan kuat dan solid serta memberi perang psikologi kepada pembangkang kerana telah membuktikan beliau legit untuk berada di situ.
“Kalau tidak berjaya mendapat sokongan ini, ada ruang dan peluang pembangkang untuk jatuhkan Muhyiddin kerana ini telah menjadi kemenangan besar kepada pembangkang kerana undi percaya itu berjaya menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya kepada PNBBC Portal ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, Jazimin berkata tindakan Ahli- Ahli Parlimen yang tidak memberi sokongan undi percaya kepada Muhyiddin mampu mewujudkan pandangan buruk dan naratif negatif di kalangan pengundi dan penyokongnya.
Beliau yang juga merupakan Penolong Rektor UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub berpandangan ini kerana rakyat akan melihat keutamaan pemimpin mereka bukan kepada kecenderungan politik kepartian.
“Sebab itu, kalau tidak menyokong rugi kepada ahli Parlimen yang ada kerana rakyat memilih mereka akan melihat kenapa pemimpin mereka bersikap sebegini.
“Sedangkan sekarang rakyat di negara ini tidak kisah (Muhyiddin sebagai Perdana Menteri) asalkan keadaan politik berada dalam keadaan stabil dan kita dapat lawan COVID-19 sepenuhnya,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin mengambil tindakan yang amat dihormati orang ramai apabila akan menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri menerusi suatu usul undi percaya kepadanya yang akan dibentangkan di Persidangan Dewan Rakyat pada September ini.
Melalui cara tersebut, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan PN sebagai kerajaan dalam ditentukan berlandaskan peruntukan Perlembagaan.
Sementara itu, Jazimin yang juga Pensyarah Kanan Pentadbiran Awam dan Sains Politik memberitahu kepimpinan kerajaan harus meletakkan kepercayaan kepada penjawat awam di setiap kementerian dan agensi dalam penagihan bantuan kepada rakyat sekiranya politik Malaysia menjadi huru hara sehingga menyebabkan kerajaan jatuh.
“Bantuan boleh tetap diberikan kepada rakyat kerana yang menjaga projek dan portfolio ketika itu (kerajaan sementara) adalah pentadbiran awam yang lebih bersikap neutral dan bantuan akan disampaikan serta mereka akan laksanakan tanggungjawab mereka seperti biasa.
“Jadi, jika mahu bantuan kerajaan sampai ke akar umbi, usaha-usaha pengagihan dan operasi perlu diberikan kepada penjawat awam kerana mereka stabil disebabkan proses bantuan akan tetap diteruskan walaupun bertukar politik, kerajaan dan sebagainya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH