5 OGOS: Lembaga Disiplin UMNO digesa mengambil tindakan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menggesa Ahmad Zahid segera meletak jawatan sebagai Presiden UMNO kerana tindakannya jelas membelakangi keputusan Perhimpunan Agung UMNO sebagai badan tertinggi dalam parti.
Mohamed Nazri berkata keputusan PAU 2020 yang mahu UMNO memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah suara akar umbi yang mahu parti itu kekal dalam kerajaan.
“Saya dah sebut benda ini banyak kali, keputusan PAU 2020 ialah putus hubungan dengan BERSATU dalam PRU15 dan juga “No Anwar, No DAP”.
“Sekarang yang langgar keputusan PAU ini siapa? Keputusan yang dibuat dalam PAU 2020 itu mengikut prosedur, usul dibentang, dibahas dan disokong sebulat suara.
“Tetapi bila habis PAU pada Mac, Zahid ada bercakap dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan dia beritahu “No Anwar, No DAP” itu hanya taktikal. Jadi jelas, Zahid membelakangkan keputusan PAU yang merupakan badan tertinggi dalam UMNO.
“Yang perlu dikenakan tindakan disiplin adalah Zahid dan beliau kena letak jawatan sebab langgar keputusan PAU,” katanya dalam satu kenyataan kepada sebuah portal.