6 OGOS: Kerajaan akan mengubah suai 100 van pelancongan menjadi ambulans di bawah Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley bagi membantu kes kecemasan membabitkan COVID-19 terutama di Lembah Klang.
Berikutan itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam masa terdekat.
“Kita juga mendengar mengenai kelewatan ambulans mengambil pesakit di rumah. Oleh itu kerajaan bersetuju untuk menambah 100 lagi van seperti ambulans di mana kita akan mengubah suai van biasa menjadi ambulans,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRCB) Taman Pertanian Agro Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang, Selangor, hari ini
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, inisiatif itu diambil kerajaan selepas mengambil kira industri pelancongan terjejas teruk sejak berlakunya pandemik.
“KKM akan bincang dengan MOTAC termasuk terma dan syarat bayaran dan sebagainya. Itu bersama-sama van dan pemandu,” jelasnya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggerakkan 1,000 anggota bagi membantu perjalanan PKRC MAEPS.
“Sejumlah 750 daripada mereka akan membantu perkara-perkara yang berkaitan dengan oksigen dan selebihnya urusan logistik,” katanya.