6 OGOS: Pasukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 225 individu termasuk 194 dikompaun dan 31 orang lagi direman kerana melakukan pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihak berkuasa juga mengarahkan
67 premis termasuk kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan kerana didapati masih ingkar SOP.
Beliau berkata, mereka diarahkan berbuat demikian hasil pemeriksaan ke atas 1,760 kilang,15,948 premis perniagaan, 861 tapak pembinaan dan 372 asrama penempatan pekerja oleh Pasukan Task Force Operasi Pematuhan di seluruh negara, semalam.
“Pihak berkuasa juga menahan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas empat kenderaan darat dalam Op Benteng dan 949 sekatan jalan raya dilaksanakan seluruh negara, semalam.
“Seramai 428 individu tiba di tanah air semalam, diarahkan menjalankan kuarantin wajib dengan jumlah kumulatif diarah berbuat demikian setakat 24 Julai lalu ialah 264,313 individu.
“Daripada jumlah itu seramai 9,893 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di 83 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Hishammuddin juga mengesahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula membuat pemantauan 10 jenis bekalan barangan di 558 peruncit, 159 pemborong dan 32 pengilang termasuk melakukan sejumlah 2,451 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis yang terbabit didapati mematuhi peraturan.