6 OGOS: Jangkitan baharu COVID-19 terus meningkat dengan mencecah paras tertinggi baharu apabila sebanyak 20,889 kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes positif baharu yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kini meningkat kepada 1,224,595 sejak tiga kes pertama COVID-19 dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.
Menurut beliau, Selangor masih kekal penyumbang tertinggi kes jangkitan harian COVID-19 dengan 8,792 kes hari ini yang merekodkan peningkatan ketara berbanding semalam iaitu 8,549 kes.
“Hanya enam negeri selain Selangor mencatatkan peningkatan iaitu Kuala Lumpur (2,483), Sabah (1,291), Kelantan (938), Pahang (610), Putrajaya (122), dan Perlis (9).
“Manakala negeri selebihnya telah mencatatkan penurunan iaitu Johor (1,275), Kedah (1,371), Negeri Sembilan (986), Pulau Pinang (776), Sarawak (652), Melaka (491), Terengganu (460), dan Labuan (9),” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.