6 OGOS :Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan jumlah kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di negara ini membabitkan 1,096 kes setakat hari ini, iaitu jumlah tertinggi sejak pandemik COVID-19 bermula.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menyebabkan peningkatan individu dirawat di ICU berbanding semalam iaitu 1,078 kes namun penggunaan alat pernafasan sebanyak 545 kes menurun sedikit berbanding semalam iaitu 549 kes.
“Kes sembuh juga turut mencatatkan peningkatan iaitu 16, 394 kes setakat tengahari tadi berbanding semalam 13,893 kes.
“Manakala kes kematian pula mencatatkan penurunan hari ini iaitu 160 kes berbanding semalam 164 kes,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Hisham memaklumkan daripada 160 kes kematian, 51 kes telah direkodkan di Selangor, 32 kes di Johor, 22 kes di Kedah, 17 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan 14 kes di Negeri Sembilan.
“Selain itu, enam kes di Pahang, lima kes di Sabah, masing-masing empat kes di Melaka dan Terengganu, tiga kes di Perak, serta dua kes di Pulau Pinang, “katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan kes baharu hari ini mencatatkan peningkatan kepada 20,889 dan daripada jumlah itu, 20,876 kes daripada adalah kes tempatan manakala 13 lagi merupakan kes import.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 273 kes iaitu 1.3 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala sebanyak 20,616 kes iaitu 98.7 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes.
“Sama ada mereka bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi. Secara keseluruhan, hanya 4,292 kes iaitu 20.5 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham memberitahu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan kadar insiden tertinggi purata kes tujuh hari iatu 31 Julai 2021 sehingga 6 Ogos 2021 per 100,000 ribu penduduk.
“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mencatatkan purata 105.7, Selangor (101.5), Wilayah Persekutuan Putrajaya (75.6), Negeri Sembilan (71.7), Melaka (53.8) dan Kedah (51.8).
“Peningkatan kes harian yang kian meningkat ini menunjukkan bahawa jangkitan virus COVID-19 sudah menular dalam komuniti,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH