KABUL: Ketua media kerajaan Afghanistan, Dawa Khan Menapal, ditembak mati oleh kumpulan Taliban berhampiran sebuah masjid di ibu negara selepas beberapa kumpulan tersebut memberi amaran untuk menyasarkan tokoh penting dalam pentadbiran kerajaan.
Pembunuhan itu dipercayai dilakukan susulan serangan berdarah yang meletus di Kabul, pertama kali dalam tempoh beberapa bulan ini.
Menteri dalam negeri Afghanistan, Mirwais Stanikzai menyifatkan serangan itu sebagai pengecut kerana mengorbankan seorang warganegara yang patriotik.
Menapal terkenal dalam komuniti media di Kabul dan sentiasa mengecam serta bergurau mengenai Taliban di media sosial.
Taliban mengakui bertanggungjawab dalam kematian itu dengan jurucakapnya, Zabihullah Mujahid, mengeluarkan mesej kepada media memberitahu ‘mangsa terbunuh dalam satu serangan khas yang dilaksanakan oleh mujahidin’.
Sebelum ini, pemimpin pertahanan, Bismillah Mohammadi terselamat dalam percubaan pembunuhan.
Kerajaan Afghanistan dan tentera Amerika Syarikat (AS) melakukan serangan udara menentang pemberontak di sebilangan kota dan Taliban menyatakan kejadian di Kabul itu adalah serangan balas.
Taliban ketika ini mengawal sejumlah besar kawasan negara dan sedang mencabar tentera kerajaan di beberapa bandar besar.