6 OGOS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah mengagihkan sebanyak 209 bakul makanan kepada enam Kampung di Wilayah Ketengah, Dungun, Terengganu, hari ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, inisiatif tersebut menzahirkan komitmen dan tanggungjawab KPLB untuk terus menjaga kebajikan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Saya turun padang untuk menyerahkan bakul makanan yang melibatkan 209 keluarga yang terjejas akibat pelaksanaan PKPD.
“Bantuan bakul makanan ini telah diserahkan kepada wakil penduduk daripada enam buah kampung dalam Wilayah Ketengah.
“Semoga inisiatif ini terus menjaga dan memelihara kebajikan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, KPLB melaksanakan agihan Bantuan Bakul Makanan dengan peruntukan RM11 juta kepada masyarakat Orang Asli, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.
Abdul Latiff berkata, pihaknya menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyerahkan pelbagai sumbangan, termasuk barangan keperluan bernilai RM100, selain kit kebersihan seperti antiseptik, topeng muka dan sabun ubat.
Dalam pada itu, Abdul Latif turut turun padang melihat pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Kompleks Sukan Komuniti Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya, Dungun.
“Ini bagi memantau proses pemberian vaksin bagi masyarakat luar bandar,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH