6 OGOS: Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan tetap setia dan komited dalam membantu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyelesaikan permasalahan rakyat khususnya kesan pandemik COVID-19 sehingga sehingga keabsahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuktikan di Persidangan Parlimen pada September ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab di kalangan pemimpin parti-parti komponen BN terutamanya Menteri untuk meninggalkan kerajaan secara tergesa-gesa seperti mana yang telah diarahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan semua ahli Parlimen UMNO masih setia kepada parti namun objektif UMNO dan objektif wakil rakyat adalah berkhidmat kepada masyarakat dalam membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.
“Menarik diri serta-merta, menumbangkan kerajaan dan lari diri daripada tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab.
“Jadi, kita tidak mahu menjadi pemimpin yang tidak bertanggungjawab dalam keadaan rakyat susah, kita lari dari medan perang. Kita akan terus menyokong berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong untuk kekal bersama kerajaan sehingga keabsahan ditentukan di Parlimen.
“Insyallah, kita akan buat keputusan apabila sampai pada masanya,” katanya dalam satu sidang media khas bersama sebahagian Ahli Parlimen BN berhubung situasi politik semasa selepas UMNO mengumumkan untuk menarik diri daripada PN.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan BN hari ini, menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pendirian itu dinyatakan dalam sidang media yang dihadiri 21 Ahli Parlimen UMNO dan BN, diketuai Ismail Sabri.
Seramai 10 lagi Ahli Parlimen UMNO, BN yang bersetuju mengambil pendirian sama, tidak hadir ketika sidang media terbabit. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH