6 OGOS: Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad, mengesahkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, berkuat kuasa serta-merta.
Noraini dalam satu kenyataan menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos lalu.
“Saya sebagai Ketua Wanita UMNO, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta. Keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang.
“Saya percaya, kita telah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kehidupan manusia di seluruh dunia. Usaha ini akan saya teruskan walaupun tidak lagi menjadi Menteri Kabinet Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Noraini menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi di dalam Kerajaan Persekutuan.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan semua pemegang taruh berkaitan kementerian yang banyak membantu saya melaksanakan tugas. Semoga Allah merahmati negara kita dan melindungi kita semua,” katanya.
Untuk rekod Noraini menjadi Menteri Kabinet dari UMNO yang meletakkan jawatan selepas Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah mengundurkan diri daripada jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, susulan tindakan UMNO menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 3 Ogos lalu.