6 OGOS: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu akur bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah memperkenankan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yasssin sebagai Perdana Menteri diundi pada Sidang Parlimen, September ini.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid untuk menghantar surat akuan tambahan menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang boleh dianggap sebagai derhaka.
“Sudah jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong mahu supaya Parlimen diadakan dan bersetuju untuk sama ada kerajaan masih terus berfungsi selepas bulan September akan ditentukan oleh Ahli-Ahli Parlimern.
“Ini jelas bahawa tidak perlu lagi Presidrn UMNO menghantar surat sokongan tambahan kepada istana. Saya rasa ini bertentangan dengan perkenan Seri Paduka Baginda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas bersama sebahagian Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam sidang media itu, Naib Presiden UMNO itu mengesahkan seramai 31 Ahli Parlimen partinya dan Barisan Nasional (BN) hari ini, menyatakan sokongan kukuh kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menegaskan Ahl-Ahli Parlimen UMNO dan BN akan sentiasa setia dan patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong untuk menyelesaikan sebarang permasalahan berkaitan kerajaan sekarang perlu dilakukan di Parlimen.
“Kami berpandangan perkara-perkara lain seperti menghantar SD atau melakukan tindakan yang boleh meruntukkan kerajaan sebelum Parlimen diadakan adalah di luar perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Jika tindakan kita runtuhkan kerajaan maka kitalah yang gagal menunaikan titah Seri Paduka Baginda supaya Parlimen bersidang dan keabsahan ditentukan di Parlimen.
“Jadi, tidak timbul mengatakan (kami) Ahli Parlimen yang derhaka. Mungkin derhaka itu adalah pihak yang melanggar titah Al-Sultan Abdullah yang telah berkenan agar (perkara-perkara berbangkit) dibawa ke Parlimen pada bulan September,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH